(Article posted in Bahasa Malaysia Only)
Ada satu komen dalam blog saya yang bertanyakan apakah sumbangan saya terdahap masyarakat dan penduduk Bidayuh di kawasan saya memandangkan saya suka cakap banyak dan mengkritik suku saya sendiri.
Saya fikir sejenak dan mula melihat "sumbangan" saya dari segala sudut dan perspektif positif. Mana mungkin saya boleh menyumbang kepada suku bangsa saya kalau saya bukan ahli dewan undangan negeri atau ahli parlimen?
Itu bukanlah hanya perkara yang paling baik untuk menyumbang kepada masyarakat, bangsa dan negara. Politik itu bukan satu-satunya penyumbang kepada pembangunan negara sungguhpun terdapat track-record selama 56 tahun pemerintahan.
Pada saya, saya sudah menyumbang banyak kepada suku dan bangsa saya. Bagaimana itu?
1. Saya bekerja dan gaji saya dipotong kapada cukai pendapatan yang akan disalurkan kepada Lembaga Hasil. Duit cukai itu akan kerajaan gunakan untuk membantu rakyat melalui program ETP dan macam-macam lagi. Itu juga berlaku kepada pekerja-pekerja yang layak untuk pemotongan cukai pendapatan.
2. Saya membelanjakan duit hasil pendapatan saya untuk keperluan harian, hiburan dan sebagainya. Secara langsung saya membayar cukai GST (Good and service tax) yang sentiasa naik setiap tahun. Duit cukai itu akan disalurkan kepada Lembaga Hasil dan akan digunakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat melalui ETP dan macam-macam lagi. Itu juga berlaku kepada semua orang yang berbaris di kaunter pembayaran. Kenaikan harga barang keperluan itu tidak menyusahkan kerana kenaikan cukai yang dikenakan itu tidak akan hilang tetapi akan digunakan untuk program pembangunan dan transformasi ekonomi.
3. Saya membayar saman, denda dan kompaun, cukai jalan, cukai rumah, cukai baju, seluar, api, air dan udara. Duit itu akan disalurkan kepada lembaga hasil dan perbendaharaan. Duit itu nanti akan kerajaan gunakan untuk membantu rakyat melalui program ekonomi yang pasti menguntungkan rakyat.
Pada saya, rakyat yang memyumbang banyak kepada negara. Mereka bekerja keras untuk memastikan pendapatan mereka lumayan dan seterusnya dipotong untuk cukai pendapatan. Mereka terus menyokong barangan tempatan dan import supaya cukai hasil yang dikenakan dalam harga runcit (retail price) itu diharapkan akan digunakan sebaik mungkin oleh kerajaan yang memerintah. Tidak rugi beli mee segera dengan harga yang tinggi kerana cukai jualan itu pasti kembali kepada kita melalui pembangunan dan transformasi ekonomi.
Apa yang membezakan politik dan rakyat itu adalah sebelah pihak menyumbang dan sebelah lagi membelanjakan sumbangan. Dalam konteks politik moden, sumbangan itu dikatakan sebagai "tax-payers" money dan bukan duit kerajaan yang memerintah. Oleh itu kerajaan diamanahkan oleh rakyat untuk menggunakan/membelanjakan duit pembayar cukai itu dengan cara yang berhemah. Di Malaysia, politik itu merupakan pelantar untuk menjana kekayaan dan empayar kuasa kerana mereka mempunyai kuasa untuk membelanjakan duit hasil negara yang juga hasil sumbangan rakyat. Apabila duit tersebut terlalu banyak dan tak ada idea nak berbelanja, merka buat kandang lembu dan iklan internet yang mahal-mahal supaya mereka mendapat komisen daripada kontraktor dan vendors.
Sebab itu kalau kita hendak membekal sebatang pensel ke sekolah, kita kena letak harga RM 10.00 sebatang kerana RM 2.00 nanti adalah komisen politik yang meluluskan tender. sebab itu semua orang berebut-rebut nak jadi ahli politik kerana ia program cepat kaya (bergantung kepada pihak politik yang mana satu). Akibatnya, rakyat telang hilang sumbangan yang banyak itu kerana politik rasuah dan salahguna kuasa dalam urus tadbir sumbangan rakyat jelata.
Di kawasan halaman saya, konsep itu tidak difahami kerana apa yang datang ke kampung itu semuanya daripada saku YB dan ahli politik. Biarpun enjin pengisar padi, pengiling getah, kerusi plastik mahupun balai raya. Kata mereka itu semua YB "sianu" yang kasih. Jadi, bagi kita yang tidak terlibat dalam arena politik itu hanyalah pencacai dan pembangkang kerana tidak menyumbang kepada masyarakat setempat dan kampung halaman. Sebab itu, apabila saya menulis cerita, saya selalu ditanya " apa sumbangan kamu?". Sumbangan saya sangat banyak. Bukan melaui saluran politik tetapi melalui kesetiaan dan ketaatan kepada sistem pentadbiran negara seperti orang yang melakukan perkara yang sama.
Yesus mengatakan, bukan orang kaya yang memberi banyak ke tabung persembahan yang akan mendapat kerajaan shurga tetapi perempuan balu yang memberi sekeping syiling itu kerana dia memberi segala apa yang dia miliki sungguhpun dia hidup dalam serba kekurangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment